Mood:
Topic: Senior - Menten Kokap
* Aku amik kisah masa aku jadik Ketua Platun Menduduki Pengkalan masa Annual Camp - Senior - Mana tempat aku dah lupa...
Cerita benar ditambah dengan karut-marut tak masuk dek akal...
Aku sungguh tertekan. Platun aku ditugaskan untuk membuat rondaan disekeliling kawasan pangkalan. Tapi yang aku tertekan kerna mimpi ku malam tadi.
Aku sempatlah bermimpi walau suasana disekelilingku tidak boleh dibanggakan. Malam tadi aku tidur dengan air hujan masuk dibalik poncho ku. Ahh... Walau gempa bumi sekalipun, kalau dah penat tu, aku takkan terjaga.
Aku adalah Ketua Platun bagi Bravo1. Kami sedang mengadakan operasi pembersihan musuh disekitar kawasan GR123456. Maklumat mendapati musuh dari kawasan utara telah turun menuju arah selatan melalui Hutan Simpan Paya Bakau. Aku cukup berang namun marah ku simpan dalam hati kerna bertanggungjawab dikawasan paya.
Ah..? Gila apa diorang ni? Nak cari apa di kawasan paya..? Tak fasal-fasal, musuh nak dicari tak jumpa... lain yang membelit pula.
Tapi aku gagah. Bukan senang untuk mengemudi platun aku yang semuanya lelaki. Tinggal aku dan pronto sahaja yang perempuan. Jangan pandang sebelah mata akan keperempuanan ku ini. Sekali aku jegil mata, ulat pun tercirit-cirit lari!
Aku baru bangun pagi ini. Setelah membuat sedikit regangan badan, aku turun ke lembah untuk mencuci muka dan memberus gigi. Iyyarrkkk!!!! Air paya yang payau. Ahhh... Bukan aku tak biasa! Teguk bagai sekali lalu... Bukan tak biasa...
Runner aku, Prebet Naga nampaknya berpeluh-peluh telah menyiapkan sarapan untuk aku. Inilah untungnya jadi pegawai, semuanya siap, 100% tuan! Aku mahu apa,... petik jari sahaja mereka mesti menyiapkannya. Tapi aku bukanlah pegawai yang gila kuasa. Aku tak lah zalim meminta apa-apa yang tidak patut. Sekadar menyuruh mereka membuat kopi tongkat ali adalah perkara biasa semasa operasi. Kalau mahu makan ala hotel 3 bintang, boleh minta mereka membuat kek nanas kegemaran aku. Aku makan bukannya banyak, lebih-lebih pun, berpesta bersama anak-anak buah ku juga.
"Prebet... tolong panggilkan Sarjan Bahau"
"Ya tuan!"
Kemudian Sarjan Bahau datang dengan muka yang penuh ketoyaan.
"Jan, cuba kalau datang juga saya pagi-pagi buta ni, muka tu biarlah manis. Biar huduh sekali pun, kalau diserikan dengan senyuman, cair hati saya melihat"
"Elleh Tuan, saya senyum pun, bukannya Tuan jatuh cinta dengan saya. Perut lapar ni, mana tak bercantun jer muka ni... Tuan dah masak belum?"
Ah.. Bahau dah merepek. Ni siapa yang tuan ni, aku atau dia. Aku tenung mukanya lama-lama. Dan makin lama, bola mataku semakin membesar. Kau main-mainkan aku ya Bahau!
Bahau nampaknya mengalah. Dia mula melemparkan senyuman pahit. Senyum yang buat aku lagi sakit hati. Ah... pagi-pagi lagi takkan sakit hati.
"Anak-anak buah macamana?"
"Pagi ni bagus sekali. Malam tadi tiada nyamuk pasal hujan. Tapi Tuan pepaham aje lah... pagi ni semua sibuk memanaskan badan. Semuanya pakat buat unggun api sebab nak keringkan badan."
"Ya, saya memahami. Saya pun kesejukan gila ni. Diorang tak de baju kering ker? Tukarlah baju. Hari yang baru perlulah dihidupkan dengan suasana baru. Barulah ada strength sikit...."
"Yelah..yelah.. Hah.. ni apa ceritanya tuan..?"
Aik! Sudah terbalik! Ni sapa yang nak kasik arahan ni..?
"Aku nak kau panggil semua sekali ketua seksyen. Aku nak kasik perintah rondaan. Pagi ni kita ditugaskan membuat rondaan dan dijangka akan diserang musuh." Ewah.. aku tunjuk garang. Biar dia kenal ini sapa. Leftenan Melah kau tau!
"Kena serang ker..? Iskk.. Abis nanti, saya atau Tuan yang kene jaga pengkalan ni...?"
"Ermm.. memandangkan saya sayang kat kamu semua, saya akan menjaga keselamatan pengkalan ini. Lagi pun, saya orang penting. Kalau apa-apa hal yang berlaku masa rondaan nanti, saya boleh back up dibelakang." Saja aku kasi alasan untuk cover line. Alah... macam tak biasa pulak...
"Oh.. macam gitu yer Tuan. Okeylah... Saya kumpulkan anak-anak buah. Errr.. Tuan.. bley minta air kopi Tuan sikit..? Nampak macam sedap jer.."
Ermm mesti Bahau berbulu melihat kopi ku yang berasap-asap ni. Oleh kerana aku juga adalah ketua yang baik hati, aku pun mengajak Bahau makan bersama-sama dengan ku, Prebet Naga dan Pronto Zek (Nama sebenar Zakiah). Sambil menikmati minum pagi ini, kami pun berbual bertanyakan akan hal-hal rumah tangga masing-masing. Lagipun aku tahu, kalau benarlah rondaan ini akan ada serangan, maksudnya, tidak lamalah masa untuk kami bersama.
Aku sudah tidak berminat lagi berbicara. Aku memberi penumpuan yang penuh untuk operasi ini. Kerna negara, aku rela meninggalkan ayah ibu, abang kakak dan teman-teman lelaki ku untuk berbakti mencurah keringat. Aiseh! Lupa Diri nampak.. banyaknya teman lelaki…
Aku membuat beberapa percaturan. Sarjan Bahau akan mengepalai kawasan 300 meter ke hadapan. Biar aku yang tinggal di pengkalan. Aku rasa, tiada lagi orang yang membuat strategi begini. Peduli apa aku…! Aku ketua. Aku punya sukalah! Ewwahh…. Sikit punya besar kepala aku hari ni yer… Heheheheh..
Aku menyampaikan perintah. Bla.. bla.. bla.. bla…. Koperal Boyee, Koperal Amang dan Koperal Jawi nampaknya terangguk-angguk tanda paham. Tetapi kulihat anak-naka buah mereka ada yang tergaru-garu kepala. Faham atau tidak faham… aku peduli apa..?
Ketua-ketua seksyen semua nampaknya sedang menyusun anggota. Arahan ku bukannya susah sangat. Telalu mudah untuk difahami. Seksyen 3 akan tinggal bersamaku menjaga pengkalan. Seksyen 1 penuh akan melaksanakan tugas rondaan bersama dengan Sarjan Bahau. Bahau… Kali ini aku menyerahkan kuasa penuh pada kau. Pandai-pandailah yer….
Tepat jam H1000, Sarjan Bahau sudah bersiap sedia dengan anak-anak buahnya yang lain. Bahau memandang aku dengan penuh kesayuan. Aku bagai terasa inilah kali terakhir aku menatap wajah Bahau. Biarpun tidak hensem, Bahau tetap manis dipandang mata. Aku tiba-tiba teringat kenangan manis saat bersama dengan Bahau dahulu. Ahhhh… Gila! Ini semua hasutan emosi. Aku tidak boleh lalai dengan mainan perasaan. Lagipun, Bahau sekarang sudah ada Ayu. Elleh… aku jeles? Silaplah! Aku sekarang bergelar Leftenan la.. berbanding Bahau yang bertahun pakai Sarjan. Jadi, kalau setakat Bahau tu, ermm.. tak pelah.. Baik aku cari pegawai-pegawai lain.
“Tuan, kami dah siap ni. Nak melapor ni.”
Bahau mengejutkan bening anganku.
Sesudah melapor, aku membuat lambaian mata merestu perjalanan hidup anak-anak buah ku pada hari ini. Semuga rahmat Tuhan bersama dengan mereka. Semuga kejayaan milik kami semua.
Tiba-tiba….
Tam! Tam!
“Tuannnn!!! Kita kena serang!”
Aku mendengar jeritan Koperal Jawi. Aik! Kenapa kita yang kena serang? Sepatutnya yang membuat rondaan kena serang. Apa sudah jadi ni. Mesti ada musuh yang sabotaj aku.
“Downnnn!!! Ambil perlindungan.” Jerit ku yang bersungguh-sungguh. Sesungguhnya serangan ini tidak ku duga.
Mataku melingas-lingas mencari kedudukan musuh. Pronto Zek terbongkok-bongkok dibelakangku. Ahh.. sibuk ajelah budak ni. Ada ke pokok bakau yang sekeding ini mahu dijadikan tempat berlindung bersama dengan ku..? Iskk…..
Tiba-tiba aku terpandangkan manusia berbaju hijau muda di balik pokok bakau tanah. Yer… aku pasti itu musuh. Takkan pula orang-orang ku. Aku cukup menyampah kepada orang ini yang telah mengganggu rancanganku untuk berehat. Nanti kau! Aku akan ajar kau! Betikku dalam hati.
Ku capai granade yang terletak dipinggang ku. Ahh! Aku kira apa, kalau seorang, baling bom, tak berbaloi. Ahh.. Peduli aje laa…. Aku kan terer membaling bom. Dulu-dulukan aku antara yang famous… Yer! Aku perlu menguatkan semangat.
Nampaknya bom telah berada dalam genggamanku. Tanpa bertangguh lagi, aku pun mencabut pin dan membuat balingan sekuat hati. Sekonyong-konyong ku rasanya rohku sudah berada di awang-awangan. Begitu juga dengan roh Zek yang kelihatan melambai-lambaiku.
“Kelembai punya Ketua Platun! Apa yang kau baling arr..??? Yang kau pegi baling Pin peletup buat apa..??? Kau nak bunuh platun kau ker….???”
Aku mendengar serakah Pegawai Latihan, Mejar Azman Hamzah yang telah membebel-bebel akan kejadian yang berlaku sebentar tadi. Sungguh tak ku perasan, aku telah membaling pin peletup di tangan kiriku, bukannya bom mainan di tangan kananku.
“Maaf Tuan. Saya Kidal….” Aku membela diriku.
Posted by o-group
at 4:22 PM WST
